
JOHOR BAHRU, 17 Mei — Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor dijamin tidak akan terjejas, meskipun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilaporkan mengambil keputusan untuk bertanding di kesemua 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
- PH menegaskan perbezaan strategi peringkat negeri tidak akan menggugat hubungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
- Fahmi berkata kemungkinan BN mahu merunding bersama PH wujud, tetapi masih belum muktamad.
- Semua pihak diminta menunggu amanat dan pandangan rasmi kepimpinan tertinggi PH petang ini.
- PH berada dalam kesiapsiagaan penuh menghadapi PRN Johor susulan spekulasi pembubaran Dewan Negeri pada 24 Jun.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua gabungan politik tersebut mempunyai pendirian masing-masing dan perbezaan strategi di peringkat negeri itu sama sekali tidak akan menggugat hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Adakah ia akan memberi kesan kepada kerjasama dalam Kerajaan Persekutuan? Tidak.
“Atau ia mungkin satu tanda mungkin BN mahu merunding bersama PH? Mungkin. Mungkin ya,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini hari ini.
Beliau turut meminta semua pihak agar menunggu dan mendengar amanat serta pandangan rasmi yang akan disampaikan oleh kepimpinan utama peringkat tertinggi PH pada sebelah petang nanti berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa PH kini berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi PRN Johor, susulan timbulnya spekulasi bahawa Dewan Negeri Johor dijangka dibubarkan pada 24 Jun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya berkenaan.