Mangsa ribut Labuan terima bantuan kewangan segera JWP, PL

Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain / RTM

LABUAN, 17 Mei – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan (PL) menyalurkan bantuan kewangan segera bagi meringankan beban mangsa kejadian ribut kuat yang menjejaskan lebih 43 unit kediaman di Taman Perumahan MPL, Kampung Tanjung Aru, Selasa lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 22 keluarga dengan kerosakan teruk menerima sumbangan RM3,000 setiap satu.
  • Perbadanan Labuan menyalurkan bantuan tambahan RM1,000 hingga RM3,000 mengikut tahap kerosakan.
  • JWP dan PL akan memantau situasi serta bekerjasama agensi berkaitan untuk mempercepat proses pemulihan.

Sumbangan berkenaan disampaikan secara terus oleh Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain kepada ketua isi rumah yang terkesan dalam satu lawatan ke lokasi kejadian baru-baru ini.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kediaman yang terjejas, sebanyak 22 buah keluarga yang dikategorikan mengalami kerosakan agak teruk menerima sumbangan RM3,000 setiap satu.

“Bagi baki 21 keluarga lagi (yang mengalami kerosakan sederhana dan kecil), bantuan akan diberikan berdasarkan kepada penilaian dan pertimbangan daripada Jawatankuasa Bencana.

“Diharapkan dengan adanya sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban yang dialami oleh mangsa,” katanya disini.

Ribut berkenaan menyebabkan 22 buah rumah mengalami kerosakan teruk, 10 rumah rosak sederhana manakala 11 lagi mengalami kerosakan kecil.

Sementara itu, seorang mangsa warga emas yang tinggal sebatang kara, Wong Mei Ling, 64, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan memandangkan rumahnya kini memerlukan proses pembaikan dan pembersihan yang besar.

“Rumah saya jadi sebegini (rosak habis) dan saya pula tinggal seorang diri, memang tidak tahu apa mahu buat pada peringkat awal. Semua barang di dalam rumah basah dan terpaksa dibuang kerana tidak boleh dipakai lagi, namun adanya sedikit bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan kesusahan saya,” katanya.

Terdahulu, Perbadanan Labuan (PL) turut menyalurkan bantuan kewangan tambahan antara RM1,000 hingga RM3,000 mengikut tahap kerosakan masing-masing.

JWP dan PL akan terus memantau keadaan semasa penduduk terjejas serta bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan proses pemulihan
berjalan lancar.

Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan ialah Ketua Pegawai Eksekutif PL Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Abdul Rahman Ali, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan Mejar (PA) Wan Mohd Jabir Wan Mohd Badrudin serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.