KUANTAN, 16 Jun- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memulakan perbincangan bersama Tentera Udara Kuwait (KAF) dalam masa terdekat berhubung pembelian 30 pesawat pejuang terpakai jenis F/A-18C Hornet milik Kuwait.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman berkata, kebenaran telah diberikan Amerika Syarikat, selaku pembuat asal pesawat berkenaan.
Malah, kerajaan Kuwait juga memberi maklum positif untuk memulakan rundingan secara bersama bagi pembelian aset berkenaan oleh Malaysia.
"Kita sudah tubuh jawatankuasa kementerian dengan kerajaan Kuwait, Tentera Udara Kuwait.Kebenaran telah diberikan oleh pihak Amerika Syarikat untuk mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut dan mendalam.
"Jadi proses akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-67 di Pangkalan Udara (PU), di sini.
Tambah beliau, perkembangan positif akan dimaklumkan sekiranya Kuwait menerima pesawat pejuang F/A-18E Super Hornet yang dibeli daripada Amerika Syarikat.
Kelewatan menerima pesawat pejuang baru itu menjadi antara faktor utama KAF membuat pertimbangan pemindahan pesawat pejuang kepada Kerajaan Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris; dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin.
Dalam perbarisan itu seramai 28 pegawai dan 529 anggota Tentera TUDM terlibat termasuk mengadakan Perbarisan Berjalan Lalu Dalam Masa Cepat dan Teriak Tempur Wira.
Dalam perkembangan sama, perbarisan tersebut merupakan perbarisan sambutan ulang tahun TUDM terakhir Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan berikutan beliau bakal menamatkan perkhidmatan bulan ini selepas lebih empat dekad menabur bakti.
Tampuk kepimpinan TUDM akan diserahkan kepada timbalannya iaitu Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.