Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan perlu jadi teras pendidikan tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Zambry Abd Kadir (tengah) beramah mesra dengan pelajar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ketika menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif “Semikonduktor@UiTM” di Shah Alam, hari ini / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 30 Jun – Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (Work-Based Learning, WBL) perlu dijadikan antara teras utama pendidikan tinggi bagi memastikan graduan memiliki pengalaman dan kemahiran yang selari dengan keperluan industri semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh kerjasama universiti dan industri serta perbanyakan peluang latihan dan penempatan industri untuk membentuk graduan berpengalaman praktikal.
  • Semak dan sesuaikan kurikulum, tingkatkan penyelidikan rentas disiplin serta kukuhkan budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
  • Perkasakan kapasiti dalam sektor semikonduktor melalui pelaburan, sokongan strategi negara serta program pensyarah dan mahasiswa untuk memenuhi kehendak teknologi tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, sistem pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah pembelajaran berasaskan kampus, sebaliknya perlu diperluas melalui pendedahan dalam persekitaran industri sebenar.

Menurut beliau, pendekatan itu amat penting terutama bagi sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Universiti perlu memperkukuh kerjasama dengan industri. Sistem pembelajaran juga tidak boleh lagi berasaskan kampus semata-mata.

“Mahasiswa perlu diberi peluang belajar dalam industri kerana di situlah mereka memperoleh pengalaman serta kemahiran sebenar sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Inisiatif Semikonduktor@UiTM di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Zambry berkata, pelaksanaan WBL kini telah diperkenalkan di beberapa universiti terutama institusi berteraskan teknikal menerusi kerjasama strategik bersama pihak industri.

Katanya, pendekatan itu menggabungkan pembelajaran teori di kampus dengan pengalaman praktikal di tempat kerja bagi melahirkan graduan yang lebih bersedia memenuhi kehendak pasaran.

Beliau turut menyarankan universiti menyemak dan menyesuaikan kurikulum agar sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa, selain memperkukuh penyelidikan rentas disiplin, kerjasama industri serta budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

“Kita perlu memperluas konsep pendidikan supaya proses mendapatkan ilmu tidak lagi tertumpu di kampus semata-mata. Industri juga perlu menjadi sebahagian daripada ruang pembelajaran mahasiswa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa pemain industri menyediakan lebih banyak peluang latihan dan penempatan kepada mahasiswa bagi membantu negara membangunkan bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi.

Datuk Seri Dr Zambry menambah, universiti juga perlu memperkukuh budaya inovasi dan keusahawanan termasuk pembangunan syarikat pemula (startup) dalam kalangan mahasiswa.

“UiTM mempunyai kekuatan dalam bidang ini dan usaha itu perlu terus diperkasakan dengan mengenal pasti serta membimbing mahasiswa yang berpotensi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pensyarah diberi peluang mengikuti penempatan industri menerusi program sabatikal bagi meningkatkan pendedahan serta memastikan kaedah pengajaran sentiasa selari dengan keperluan semasa.

Sementara itu, Inisiatif Semikonduktor@UiTM menerima peruntukan RM20 juta bagi memperkukuh kapasiti universiti itu dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Inisiatif itu juga menyokong aspirasi Strategi Semikonduktor Kebangsaan serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.