
CANBERRA, 30 Jun – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan kerja di Australia bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam sektor pertahanan.
- Majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries dan Rocket Technologies International (RTI).
- Majlis akan disertai Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, serta wakil kerajaan dan industri dari kedua negara.
- Kerjasama merangkumi R&D, latihan teknikal, pembangunan modal insan dan pemindahan pengetahuan dalam sektor aeroangkasa dan teknologi.
- Usaha ini menyokong pengukuhan hubungan Malaysia Australia dalam teknologi, industri strategik, perdagangan, pelaburan, serta kerjasama institusi pengajian tinggi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Lawatan kerja tersebut antaranya akan menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dengan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI).
Majlis pemeteraian yang dijadual berlangsung pada Rabu akan turut disertai oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, wakil kerajaan dan industri dari kedua-dua negara.
Weststar menerusi kenyataan memaklumkan, kerjasama strategik itu meliputi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan teknikal, pembangunan modal insan, serta program pemindahan pengetahuan dalam sektor aeroangkasa dan teknologi.
“Kerjasama itu dijangka menyokong usaha memperkukuh hubungan Malaysia dan Australia dalam bidang teknologi, industri strategik serta perdagangan dan pelaburan, selaras dengan Malaysia – Australia Comprehensive Strategic Partnership (CSP),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kedua-dua negara akan turut meneroka kerjasama melibatkan Institusi Pengajian Tinggi, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan penglibatan industri.
Datuk Seri Khaled dijadual mengadakan lawatan kerja ke Australia selama tiga hari bermula hari ini.