Harga petrol dan diesel tanpa subsidi turun 10 sen mulai 1 Julai – MOF

Gambar hiasan / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi diturunkan sebanyak 10 sen seliter bagi tempoh 1 hingga 8 Julai 2026 berikutan penurunan purata harga pasaran minyak antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelarasan dibuat selaras dengan formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).
  • Harga tanpa subsidi: RON97 RM4.00, RON95 RM3.37, diesel RM3.97.
  • Harga bersubsidi dikekalkan: BUDI95 RM1.99, diesel BUDI RM2.10, SKPS RM2.05, SKDS RM2.15.
  • Melalui BUDI Diesel, rakyat layak boleh mendapat diesel bersubsidi melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelarasan itu dibuat selaras dengan formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM).

Bagi tempoh berkenaan, harga runcit petrol RON97 turun kepada RM4.00 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi dikurangkan kepada RM3.37 seliter.

Harga diesel tanpa subsidi pula turun kepada RM3.97 seliter.

Menurut kementerian, pengumuman harga minggu ini dibuat bagi menyelaraskan tempoh harga baharu dengan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang bermula esok, 1 Julai.

Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan.

Ia membabitkan RON95 di bawah BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, diesel BUDI pada RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

Melalui BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh mendapatkan diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.

Kementerian berkata, harga petroleum antarabangsa kini menunjukkan trend penyederhanaan berbanding paras tertinggi ketika kemuncak krisis Asia Barat.

Bagaimanapun, pasaran minyak global masih berdepan ketidaktentuan susulan risiko terhadap harga minyak mentah, kos penghantaran serta kestabilan bekalan.

Kerajaan memaklumkan bekalan bahan api negara kekal mencukupi setakat ini.

Dalam masa sama, rakyat disaran menggunakan bahan api secara berhemat termasuk merancang perjalanan dengan lebih cekap bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, selain memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.