LRT3 beri kelegaan kepada pelajar UiTM, jimat kos ulang-alik kampus

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Zambry Abd Kadir (tengah) pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif “Semikonduktor@UiTM” di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, hari ini/ Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 30 Jun – Pengoperasian Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi perjalanan lebih mudah, pengurangan kesesakan lalu lintas serta penjimatan kos pengangkutan harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Stesen UiTM Shah Alam menawarkan pilihan pengangkutan awam lebih cekap kepada pelajar dan warga kampus.
  • Pertumbuhan pesat Shah Alam memerlukan jaringan pengangkutan awam yang lebih baik untuk sokong mobiliti dan pembangunan bandar.
  • Perdana Menteri umumkan tambang percuma LRT3 dari 29 Jun hingga 31 Julai; jajaran 20 stesen manfaatkan komuniti setempat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kewujudan Stesen UiTM Shah Alam dalam jajaran LRT3 memberi pilihan pengangkutan awam lebih cekap kepada pelajar dan warga kampus yang sebelum ini berdepan cabaran kesesakan untuk ke universiti.

Menurut beliau, kemudahan itu amat diperlukan memandangkan kawasan Shah Alam terus berkembang pesat dan memerlukan jaringan pengangkutan awam yang lebih baik.

“Dengan adanya LRT ini, ia memberi kemudahan yang sangat baik kepada pelajar selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kos perbelanjaan mereka untuk bergerak di sekitar Lembah Klang.

“Saya dapat lihat ramai pelajar begitu teruja dengan kemudahan ini. Ia memberi kelegaan kepada mereka yang sebelum ini berdepan masalah perjalanan untuk sampai ke kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Inisiatif Semikonduktor@UiTM di Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, UiTM Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam kepada semua penumpang bermula 29 Jun hingga 31 Julai ini.

Jajaran LRT3 Laluan Shah Alam membabitkan 20 stesen baharu termasuk Stesen UiTM Shah Alam, Seksyen 7 Shah Alam, Stadium Shah Alam, Bandar Baru Klang dan Johan Setia.

Kemudahan itu dijangka memperkukuh jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang selain memberi manfaat kepada komuniti setempat termasuk pelajar, pekerja dan penduduk di sepanjang jajaran berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.