
DURIAN TUNGGAL, 16 Ogos – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 penting bagi memastikan sistem perundangan pendidikan tinggi negara terus relevan, selain memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik dan suara mahasiswa.
- UTeM menyambut cadangan dan bersedia bekerjasama dengan KPT dalam pembangunan kerangka perundangan baharu.
- Langkah ini selari dengan agenda One Higher Education Act menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035.
- Kerangka baharu dijangka memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti institusi dan memberi ruang universiti menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan.
- Penelitian terperinci penting untuk memastikan keseluruhan ekosistem, termasuk peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara, diambil kira.
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi kenyataan menyambut baik cadangan pemansuhan itu dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pembangunan kerangka perundangan baharu.
Menurut UTeM, langkah berkenaan selari dengan agenda One Higher Education Act menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 – 2035.
Kerangka baharu itu dilihat mampu memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti institusi pendidikan tinggi serta memberi ruang kepada universiti untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan semasa.
Bagaimanapun, UTeM menyifatkan penelitian terperinci penting bagi memastikan kerangka baharu itu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi.
Ia termasuk peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara.
Pembaharuan berkenaan diharap mampu melahirkan mahasiswa yang berilmu, berfikiran matang dan bertanggungjawab, selain mampu menyumbang kepada pembangunan universiti dan negara.
“Ia adalah perkara tunjang dalam memastikan institusi pendidikan tinggi terus berada kedudukan tinggi rujukan utama keilmuan dan peradaban yang terus berdaya tinggi menzahirkan peranan menjana generasi yang berevolusi tinggi di persada negara dan merentas sempadan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.