fb fb fb fb fb

Pemangku Raja Perlis titah umat Islam perlu bersatu

Foto RTM

JEDDAH, 26 Jun- Umat Islam di seluruh dunia perlu terus bersatu dalam mempertahankan kepentingan bersama dan ianya merupakan sesuatu yang 'makruf' sebagaimana yang dituntut oleh agama.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah salah satu aspek yang menunjukkan elemen perpaduan adalah kesanggupan untuk melakukan pengorbanan dengan mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan peribadi.

Pada kesempatan yang sama, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh jemaah haji yang berjaya menunaikan haji dengan lengkap, yang mana pada masa ini ramai jemaah haji yang telah mula bergerak pulang ke negara masing-masing termasuk sebahagian jemaah haji Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berdoa agar segala amal ibadah diterima oleh Allah.

Demikian titah baginda menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan menyerahkan Sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Pejabat Lembaga Tabung Haji di Jeddah.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman di Hotel Rayhan Rotana Mekah, sebelum baginda berangkat meninggalkan kota Mekah.

Baginda diiringi sama Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM