
AYER KEROH, 15 Julai – 327 keluarga terjejas banjir di Melaka baru-baru ini, bakal memperoleh pengecualian bayaran bil air bagi Julai dibawah Bantuan Khas Melaka Sayang Rakyat (MESRA).
- Kerajaan negeri menanggung implikasi kewangan sebanyak RM50,000 bagi bantuan khas banjir.
- Agensi berkaitan akan mengumumkan tempoh, syarat kelayakan dan pelaksanaan bantuan.
- Ketua Menteri arah pelaksanaan mitigasi dipermudah dan dipercepatkan serta wujudkan sokongan kepada penduduk terjejas.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengumumkan perkara itu memberitahu bantuan khas berkenaan melibatkan implikasi kewangan kerajaan negeri sebanyak RM50,000.
“Angka itu dijangka bertambah berikutan masih terdapat penduduk terjejas belum membuat pendaftaran.
“Dalam masa sama, agensi berkaitan bakal mengumumkan perincian berkaitan tempoh pemberian, syarat kelayakan serta pelaksanaannya,”katanya dalam sidang media selepas Sidang DUN Melaka.
Beliau turut mengakui walaupun bantuan bil air percuma itu tidak dapat menggantikan kerugian yang dialami penduduk terjejas, namun langkah itu bukti kerajaan negeri bersama-sama rakyat dalam menghadapi kesukaran.
“Saya telah mengarahkan agar pelaksanaan langkah mitigasi di lokasi dipermudah dan dipercepatkan,”katanya lagi.
Sabtu lepas, lebih 30 lokasi terjejas banjir sekitar Melaka antaranya Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bertam Ulu, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Masjid Tanah Ria dan Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah.