fb fb fb fb fb

Peluasan SST: Langkah strategik perkukuh kedudukan fiskal negara

Dr. Juzaimi Nasuredin/ Foto RTM

BATU PAHAT, 18 Jun- Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual bermula 1 Julai ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Selain berperanan meningkatkan hasil negara, kutipan cukai itu turut menyokong pembangunan berterusan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Juzaimi Nasuredin, pelaksanaan SST dengan skop baharu itu tidak membebankan rakyat secara ketara, khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Daripada segi manfaat, kita cuba menurunkan fiskal kita punya negara daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus.

"Sebab kita punya perbelanjaan bajet pada tahun ini lebih kurang RM421 bilion. Jadi kita perlu turunkan supaya kita nampak daya saing segi negara ini baik," katanya kepada pemberita di UTHM, di sini hari ini.

Rata-rata peniaga dan pengguna turut menyambut baik inisiatif itu yang diyakini mampu memberi pulangan jangka panjang kepada negara dan masyarakat.

"Pendapat saya tentang sistem percukaian dalam negara kita ini, khususnya berkaitan SST, ia merupakan satu inisiatif penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Mungkin secara tidak langsung, kita sebenarnya sedang menikmati hasil cukai terdahulu, contohnya dalam aspek infrastruktur, kesihatan, pendidikan, dan juga ekonomi digital," kata peniaga, Muhammad Amin Muqtadir Muhammad Rosli.

"Tidak semua barangan perlu dikenakan cukai. Kami dapati bahawa barangan yang dikenakan cukai lebih tertumpu kepada produk-produk import.

"Oleh itu, kita ambil manfaat daripada dasar ini dengan harapan pembelian barangan import, terutamanya yang bersifat keperluan, dapat dikurangkan dan dialihkan kepada barangan tempatan," kata Pengusaha Kebun Komuniti, Normah Kassim.

"Walaupun kenaikan itu mungkin akan berlaku, kita berharap akan ada timbal balik daripada cukai tersebut yang disalurkan semula kepada rakyat supaya perbelanjaan itu berbaloi dengan cukai yang dibayar dan perkhidmatan yang diterima oleh rakyat," kata pesara, Nasharuddin Abdul Rahman.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM