fb fb fb fb fb

Pelihara ekosistem, Pusat Biodiversiti perlu diwujudkan di Perlis

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyiram pokok sebagai gimik perasmian Nakawan Rainforest Festival sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri 2024 di Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat / Foto Bernama

KANGAR, 26 Mei - Sebuah Pusat Biodiversiti perlu diwujudkan di Perlis dalam usaha mengukuhkan lagi pemeliharaan sumber biodiversiti negeri selain menjadi pusat rujukan bagi wilayah utara negara.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pewujudan pusat berkenaan selari peningkatan kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan dan penjagaan ekosistem hutan batu kapur dan biodiversiti negara.

"Penyertaan penduduk negeri Perlis dalam aktiviti penanaman pokok secara berterusan dapat menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi masa hadapan.

"Beta berharap agar jabatan perhutanan akan terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab untuk mengurus khazanah hutan di negeri Perlis selari dengan visi jabatan iaitu menjadi agensi terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara berkekalan," titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan Nakawan Rainforest Festival Sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis di Pusat Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, di sini.

Pada program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menanam pokok Merbau sebagai simbolik pokok yang ke sejuta ditanam di Perlis menerusi kempen penanaman 100 juta pokok seluruh negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN