Peletakan jawatan berkuat kuasa serta merta sejurus DS Najib pulang ke rumah – Loke

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 November – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan pendiriannya untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan pulang ke rumah bagi menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 28 September dan akan menghantar surat susulan.
  • DAP menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong tetapi bimbang tahanan rumah Najib memberi mesej tidak wajar kepada generasi akan datang.
  • Menjamin kesinambungan kementerian; projek utama termasuk pelancaran My50 Disember, operasi ECRL 12 Disember dan perkhidmatan RTS Februari.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu selaras dengan pendirian tegas DAP yang membantah keputusan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

“Pendirian saya jelas, dan saya telah pun memaklumkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) serta pegawai-pegawai kementerian tadi bahawa sejurus selepas Najib sampai ke rumahnya, peletakan jawatan saya berkuat kuasa serta-merta,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan, surat peletakan jawatan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu, dan beliau akan mengemukakan satu lagi surat susulan berhubung perkembangan terbaharu itu.

Menurutnya, DAP menghormati kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, parti itu berpandangan keputusan membenarkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah berpotensi menyampaikan mesej yang tidak wajar kepada generasi akan datang, mengambil kira kesan skandal yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu terhadap ekonomi dan imej negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke mengesahkan pembayaran RM50 juta telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib masih belum dibenarkan pulang ke rumah dan difahamkan dibawa ke klinik pergigian bagi menjalani pemeriksaan yang telah dijadualkan.

Mengulas mengenai kesinambungan pentadbiran Kementerian Pengangkutan sekiranya beliau melepaskan jawatan, beliau memberi jaminan semua perancangan dan inisiatif kementerian akan diteruskan seperti biasa.

Antara inisiatif utama termasuk pelancaran My50 Commuter yang dijadualkan pada Disember ini, operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 12 Disember serta perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka bermula Februari depan.

Beliau yang telah menerajui kementerian itu selama 47 bulan sejak Disember 2022 menegaskan akan terus memberikan sokongan bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan perancangan kementerian, meskipun selepas tidak lagi memegang jawatan menteri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.