JPJ Negeri Sembilan pantau kesalahan berisiko tinggi sempena Deepavali

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu/ BERNAMA

SEREMBAN, 6 November – Pemandu kenderaan berat diingatkan supaya lebih peka terhadap zon titik buta dan memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum menukar laluan bagi mengelakkan kemalangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Negeri Sembilan jalankan Op Patuh 7 hingga 12 November fokus kesalahan berisiko tinggi seperti memandu laju, langgar lampu merah, potong garisan berkembar.
  • Operasi akan menggunakan dua dron dan pengendali khas untuk memantau persimpangan dan jajaran berisiko tinggi mengesan kesalahan lalu lintas.
  • Penguatkuasaan penyamaran di terminal bas periksa perkhidmatan ekspres, larang penumpang berdiri, elak turun di lokasi tidak dibenarkan, periksa kelayakan pemandu.

Itu antara peringatan yang ditekankan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya sepanjang musim perayaan Deepavali.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, kegagalan memeriksa cermin sisi dengan teliti serta tindakan kenderaan kecil mengekori terlalu rapat antara faktor yang boleh meningkatkan risiko kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Sehubungan itu, JPJ Negeri Sembilan akan melaksanakan Op Patuh bermula 7 hingga 12 November dengan memberi tumpuan kepada kesalahan berisiko tinggi termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memotong barisan serta menyalahgunakan lorong kecemasan.

“Operasi turut melibatkan pemantauan dari udara menggunakan dua unit dron bersama pengendali khusus bagi mengesan kesalahan lalu lintas di persimpangan jalan dan jajaran yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan,” katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Deepavali 2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, aliran trafik sepanjang musim perayaan itu dijangka meningkat sehingga 100 peratus berbanding hari biasa, sekali gus memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan lebih menyeluruh.

Antara lokasi tumpuan termasuk Kilometer 269 dan Kilometer 258 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Jalan Ulu Bendul-Terachi, Jalan Seremban-Tampin, Jalan Seremban-Lukut serta Jalan Batang Benar-Nilai.

“Matlamat sebenar kita adalah lebih besar daripada itu. Kita mahu meningkatkan pematuhan, kita mahu mencegah kemalangan dan yang paling utama, kita mahu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ turut memberi perhatian terhadap kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta risiko pemandu mengalami fenomena terlelap sejenak akibat keletihan.

Penguatkuasaan secara penyamaran tanpa pakaian seragam juga akan dilaksanakan di terminal bas awam bagi menyiasat aduan berkaitan perkhidmatan bas ekspres, termasuk memastikan tiada penumpang berdiri, mengelakkan penurunan penumpang di lokasi tidak dibenarkan serta memeriksa kelayakan fizikal pemandu.

Jasyindar turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, merancang perjalanan dan berehat secukupnya sebelum meneruskan pemanduan.

Penunggang motosikal pula diingatkan supaya memakai topi keledar dengan betul, manakala pengguna kenderaan lain perlu sentiasa peka terhadap titik buta kenderaan berat.

Beliau menegaskan, penguatkuasaan berkenaan bukan semata-mata bertujuan mengenakan saman, sebaliknya untuk meningkatkan pematuhan peraturan lalu lintas, mencegah kemalangan dan melindungi nyawa pengguna jalan raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.