fb fb fb fb fb

Pelarasan tarif air di Kedah tidak bebankan pengguna

FOTO BERNAMA

ALOR SETAR, 18 Januari -Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) menjelaskan pelarasan tarif air bagi kategori domestik bermula 1 Februari depan secara keseluruhan tidak akan membebankan pengguna di negeri tersebut.

Menurut kenyataan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), mengambil contoh penggunaan air 10 meter padu dan ke bawah, kenaikkan caj yang dikenakan hanyalah sebanyak RM1.50 sen sahaja.

Bagaimanapun, SADA tetap memahami kesempitan ditanggung oleh sebahagian pengguna. SADA masih melaksanakan program subsidi air bersasar kepada golongan kategori miskin tegar dan berdaftar dengan sistem e-Kasih.

"SADA akan memastikan pelarasan kadar tarif Itu selari dengan peningkatan aspek mutu perkhidmatan yang memberi manfaat berterusan kepada pengguna", menurut kenyataan itu.

SADA juga turut memaklumkan pelarasan kadar tarif itu perlu dilaksanakan bagi menjamin kelestarian perkhidmatan dan bukan bersifat keuntungan serta kadar tarif baharu bagi kategori domestik di seluruh negeri Kedah akan dicaj bermula pada bil bulan berikutnya.

Tambah SADA lagi, sumber kewangan yang kukuh dan mencukupi membolehkan SADA membangunkan projek infrastruktur air yang mampan sekali gus menambah baik liputan bekalan air di seluruh negeri.

Pengumuman pelarasan tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu. Pelarasan dilaksanakan bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM), iaitu struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Labuan serta ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD