fb fb fb fb fb

Pelaksanaan program intervensi bantu generasi 'sandwich'

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri/ Foto FB KPWKM

KUALA LUMPUR, 19 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi tumpuan khusus kepada generasi ‘sandwich’ dengan melaksanakan pelbagai program intervensi bagi membantu meringankan tekanan ekonomi serta tanggungjawab menjaga ibu bapa dan keluarga mereka sendiri.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, generasi keluarga tersebut mempunyai perancangan hidup mereka sendiri, termasuk memilih untuk tidak mempunyai anak. Namun, kerajaan tetap bertanggungjawab bagi memastikan mereka membuat pertimbangan perkara itu dengan sebaiknya.

"Mereka digelar generasi ‘sandwich’ kerana selain menghadapi cabaran ekonomi, mereka juga mempunyai perancangan lain untuk menjaga keluarga masing-masing.

"Jadi mereka perlu memikirkan perkara ini dengan teliti. Mungkin ada yang membuat keputusan sekarang, tetapi dalam jangka masa panjang, mereka boleh mengubah fikiran mereka", katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2025 (PERKKS 25) di sini hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan telah melaksanakan inisiatif intervensi bukan kewangan, seperti pemberian maklumat, pengetahuan dan panduan, bagi membantu keluarga ‘sandwich’ menghadapi cabaran serta merancang kehidupan dengan lebih bijak.

Datuk Seri Nancy turut memaklumkan kerajaan sedang memperkukuh persediaan negara menghadapi isu penuaan populasi menjelang tahun 2030, dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi penjagaan (care economy).

"Ini salah satu cara kami membantu menghadapi isu penuaan negara. Ada yang menua tetapi masih sihat, namun ada juga yang memerlukan penjagaan. Maka, menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan perkhidmatan yang membolehkan mereka menerima bantuan dari segi penjagaan," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga mempunyai rangka kerja bagi membangunkan ekonomi penjagaan disamping menyediakan pelbagai program untuk remaja bagi memberi sokongan kepada warga emas.

"Antara program yang dilaksanakan termasuklah program kesihatan, serta inisiatif seperti ‘Power’, selain program-program lain yang bertujuan membantu mengatasi cabaran supaya golongan terlibat kekal produktif.

Katanya, kerajaan mahu golongan itu terus produktif. Selain itu, terdapat juga dasar dan peruntukan undang-undang yang melindungi kebajikan warga emas.

Kerajaan melancarkan inisiatif ini di Sabah, namun perinciannya masih dalam perancangan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang selaras dengan pelan tindakan warga emas.

Sementara itu, kerajaan turut melaksanakan pelbagai program untuk menyokong kadar kesuburan negara termasuk Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) yang kini merekodkan 1,300 pendaftaran dengan 12 peratus kadar kejayaan awal rawatan, setakat ini.

Usaha tersebut turut melibatkan pendedahan kepada pelajar mengenai kesihatan reproduktif melalui KafeTEEN serta bagi mengurangkan kehamilan tidak bertanggungjawab.

ROSLINA BINTI DIN