fb fb fb fb fb

Pelajar, pegawai UPSI terpilih sertai Qari-in-Residence

Ikram Hakim Mat Nasir dan Nasrul Zikri Mohd Nazri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke United Kingdom dan Australia pada Isnin lalu.

TANJONG MALIM, 8 Mac- Dua pelajar tahfiz dan seorang pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih dalam Program 'Qari-in-Residence' di 'University of Oxford', United Kingdom dan di 'Education Malaysia Sydney', Australia, Ramadan ini.

Menurut Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, menerusi kerjasama Program Education Mobility Malaysia-United Kingdom-Australia, mereka akan menjadi tenaga pengajar agama dan imam solat Tarawih di Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) United Kingdom, Dewan Malaysia Sydney dan Dewan Malaysia Melbourne, Australia sepanjang Ramadan ini.

Mereka akan membabitkan diri dalam pelbagai program pendidikan, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan khidmat komuniti yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar dan pegawai.

"Pelajar berkenaan daripada program pengajian Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan, Ikram Hakim Mat Nasir akan menjadi 'Qari-in-Residence 1445H' di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom manakala Nasrul Zikri Mohd Nazri akan ditempatkan di Dewan Malaysia Melbourne, Australia.

"Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI, Muhammad Majdan Ismail akan ditempatkan di Dewan Malaysia Sdyney, Australia.

"Program berkenaan diyakini bakal melahirkan golongan huffaz profesional yang bersifat global, melangkaui bilik darjah dan mampu mengangkat martabat al-Quran daripada semua sudut.

"Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan 'University of Oxford', universiti terbaik dunia dan pejabat 'Education Malaysia Australia' kepada UPSI dan Malaysia," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berharap ketiga-tiga wakil UPSI itu dapat menjadi contoh dan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Sementara itu, Felo Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti melahirkan rasa syukur atas kejayaan merealisasikan program berkenaan.

"Alhamdulillah, program ini adalah dibawah naungan Raja Permaisuri Perak selaku Canselor UPSI. Sebelum ini imam-imam yang terpilih untuk ke luar negara adalah dalam kalangan huffaz kelolaan JAKIM. Manakala untuk tahun ini penghormatan diberikan kepada kalangan huffaz daripada UPSI," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang menyampaikan replika tiket penerbangan di Pusat Islam UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah berkata mereka akan menjadi tenaga pengajar di sepanjang Ramadan.

"Mereka turut berperanan sebagai duta kecil UPSI dan Malaysia di sana. Selain itu, mereka berpeluang untuk menyertai program-program dakwah kepada komuniti Islam setempat," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM