KANGAR, 11 Jun- Akibat terpengaruh dengan iklan promosi memperoleh lesen memandu secara mudah di laman sosial Facebook, seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) disaman anggota Unit Pengiring Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis .
Operasi khas oleh Pasukan UPB JPJ Perlis itu, berjaya mengesan kesalahan tersebut di Jalan Penjara-Pusat Bandar Kangar petang semalam.
Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataannya, siasatan awal ke atas pelajar lelaki yang berusia awal 20-an itu mendapati, beliau memaklumkan tidak mengetahui lesen berkenaan adalah palsu dan tiada rekod di dalam sistem Mysikap JPJ.
"Pelajar tersebut yang memandu kenderaan jenis MPV dikenakan tindakan saman dibawah Seksyen 108(5) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 serta boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun," kata Fatimah kepada pemberita RTM.
Selain itu, Unit Pengiring Bermotosikal turut menyita tiga buah kereta yang dipandu oleh warga Rohingnya yang juga pemegang kad UNHCR di lokasi yang sama.
Warga asing berkenaan disaman kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah mengikut Seksyen 26(1) dan kenderaan mereka disita dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
(Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan pengguna mematuhi undang-undang)