fb fb fb fb fb

Pelajar IKTBN maut, dua cedera dalam kemalangan di LPT arah Timur

Mangsa Muhammad Azril Syazwan Mohd Azmi, 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

KUANTAN, 21 Jun - Seorang penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh maut manakala dua rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan di Kilometer 208.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Timur, Kuantan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Muhammad Azril Syazwan Mohd Azmi, 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Muhammad Azril dari arah Temerloh menghala ke Kuantan melanggar belakang sebuah lori tunda yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan. Manakala rakannya, Syazwan Zaidi dan Hazeeq Khumaini Azhar gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa," katanya menerusi kenyataan.

Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan kini berada dalam zon kuning untuk rawatan lanjut.

Mayat Muhammad Azril Syazwan dibawa HTAA untuk proses bedah siasat. Pemandu lori, Amir Syafiq Roslan, 28 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

TETITIA YUSOFF