
MOSCOW, 8 Mei – Rusia pada Jumaat memaklumkan pihaknya telah memintas dron yang menuju ke arah Moscow selepas memberi amaran kemungkinan serangan balas terhadap Kiev, walaupun negara itu sedang melaksanakan gencatan senjata dua hari sempena sambutan Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua.
- Kementerian Pertahanan Rusia dakwa berjaya memusnahkan hampir 350 dron Ukraine dalam tempoh semalaman.
- Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata 20 dron dipintas dalam dua jam selepas gencatan senjata bermula.
- Kementerian Pertahanan menggesa penduduk awam dan kakitangan diplomatik asing meninggalkan Kiev sebab ancaman serangan balas.
- Ukraine sifatkan gencatan senjata sebagai propaganda untuk melindungi perarakan Hari Kemenangan; Zelensky gesa sekutu jangan hadir.
Kementerian Pertahanan Rusia pada Khamis mendakwa tenteranya berjaya memusnahkan hampir 350 dron Ukraine dalam tempoh semalaman.
Menurut Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, sebanyak 20 lagi dron dipintas dalam tempoh dua jam selepas gencatan senjata Rusia bermula.
Kementerian Pertahanan Rusia pula menggesa penduduk dan kakitangan diplomatik asing meninggalkan Kiev susulan ancaman kemungkinan serangan balas sekiranya Ukraine melancarkan serangan ketika tempoh gencatan senjata.
“Kami sekali lagi mengingatkan penduduk awam Kiev dan kakitangan misi diplomatik asing supaya meninggalkan bandar itu lebih awal,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ukraine menyifatkan gencatan senjata itu sebagai propaganda untuk melindungi perarakan Hari Kemenangan pada 9 Mei, yang merupakan antara acara patriotik paling penting bagi Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut menggesa sekutu Rusia supaya tidak menghadiri perarakan tersebut di Moscow.
“Kami turut menerima mesej daripada beberapa negara yang rapat dengan Rusia bahawa wakil mereka merancang untuk berada di Moscow… satu keinginan yang pelik… dalam keadaan seperti ini. Kami tidak mengesyorkannya,” kata Zelensky.
Beliau turut mendakwa Rusia mahu menggunakan Ukraine untuk menjamin keselamatan perarakan tersebut.
“Mereka mahukan kebenaran daripada Ukraine untuk mengadakan perarakan supaya mereka boleh berada di dataran dengan selamat selama satu jam setahun, kemudian kembali membunuh,” katanya.
Zelensky sebelum ini mencadangkan gencatan senjata bermula 6 Mei, namun cadangan itu tidak diendahkan oleh Moscow.
Ketika Rusia memperhebat serangan terhadap Ukraine sejak beberapa hari lalu, Kiev turut melancarkan serangan balas.-AFP