ASEAN perkukuh solidariti hadapi ketidaktentuan global – Marcos

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menyampaikan ucapan pembukaan pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Sidang Berkaitan di Mactan Expo/Foto BERNAMA

CEBU, 8 Mei – ASEAN menegaskan komitmen untuk terus bertindak secara kolektif dan memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • ASEAN mesti kekal bersatu, tangkas dan responsif demi kestabilan serta kesejahteraan rakyat rantau.
  • Memperkukuh koordinasi dalam sektor ekonomi, tenaga, pertanian dan keselamatan untuk hadapi cabaran global kompleks.
  • Filipina melakukan pelarasan sidang, kurangkan aktiviti tidak penting dan adakan beberapa mesyuarat secara maya sambil kekal fokus kepada kepengerusian.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berkata, cabaran global semasa menuntut ASEAN kekal bersatu, tangkas dan responsif demi kestabilan serta kesejahteraan rakyat rantau ini.

Menurut beliau, negara anggota turut memperkukuh koordinasi dalam sektor utama termasuk ekonomi, tenaga, pertanian dan keselamatan bagi menghadapi situasi global yang semakin kompleks.

“Usaha ASEAN mesti diteruskan, walaupun terdapat cabaran, tetapi kerana zaman ini menuntut jawapan kita terhadap cabaran tersebut demi rakyat, negara-negara kita dan ASEAN,” katanya ketika berucap pada pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Marcos, yang juga Pengerusi ASEAN tahun ini berkata, Filipina turut melakukan beberapa pelarasan terhadap penganjuran sidang kemuncak itu susulan konflik di Asia Barat, termasuk mengurangkan aktiviti tidak penting dan mengadakan sebahagian mesyuarat secara maya.

“Walaupun penyesuaian tersebut dilakukan, kami tetap berusaha untuk responsif terhadap keperluan komuniti ASEAN dan memberi tumpuan kepada pencapaian matlamat kepengerusian kami,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, para pemimpin ASEAN turut menekankan bahawa perpaduan kekal menjadi kekuatan utama blok serantau itu dalam mendepani pelbagai cabaran global.

Tegas beliau, pendekatan berasaskan dialog, konsensus dan kerjasama berterusan menjadi asas penting bagi memastikan ASEAN kekal relevan, stabil dan berdaya tahan.