
NEW YORK, 2 Jun – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ketegangan di Lubnan semakin membimbangkan walaupun gencatan senjata separa antara Hizbullah dan Israel diumumkan pada Isnin.
- Perjanjian separa dianggap usaha kurangkan serangan, namun pertempuran di selatan Lubnan masih berterusan.
- Israel bersetuju hentikan serangan ke atas Beirut dan pinggir bandar; Hizbullah akan menghentikan serangan balas.
- Serangan berterusan mencetus ribuan korban, perpindahan besar orang awam, dan rundingan lanjut di Washington untuk perluaskan gencatan.
Perjanjian itu dilihat sebagai usaha mengurangkan serangan yang semakin memuncak sejak beberapa bulan lalu, namun pertempuran di selatan Lubnan masih berterusan.
Menurut Kedutaan Lubnan di Washington, Israel bersetuju menghentikan serangan ke atas Beirut dan kawasan pinggir bandar di selatan ibu negara itu.
Manakala Hizbullah akan menghentikan serangan balas ke atas Israel.
Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Politik dan Operasi Keamanan, Martha Ama Akyaa Pobee berkata keadaan semasa boleh menjejaskan usaha mencapai gencatan senjata kekal antara kedua-dua pihak.
“Perkembangan ini merupakan peningkatan ketegangan yang berbahaya dan membimbangkan. Ia menjejaskan usaha diplomatik yang rapuh untuk meredakan keadaan serta boleh menggagalkan laluan ke arah gencatan senjata kekal,” katanya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
PBB turut menggesa Israel mengundurkan tenteranya dari wilayah Lubnan serta menghormati kedaulatan negara itu.
Sementara itu, Lubnan dijangka mengadakan rundingan lanjut dengan Israel di Washington dalam usaha memperluas pelaksanaan gencatan senjata berkenaan.
Konflik di Lubnan semakin meruncing susulan serangan berterusan Israel ke atas beberapa kawasan di negara itu yang turut mengorbankan ribuan penduduk serta perpindahan besar-besaran orang awam. – REUTERS