fb fb fb fb fb

Pejabat Anwar terus jadi lokasi tumpuan media

(Pengamal media berkumpul di luar pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim
di Jalan Gasing, Petaling Jaya)

PETALING JAYA, 23 November - Pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Gasing, di sini, terus menjadi menjadi lokasi tumpuan pengamal media, meski memasuki hari keempat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beberapa pemimpin PH juga dilihat mula berkumpul di pejabat itu sejak tengah hari tadi.

Antara pemimpin PH yang hadir termasuklah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifudin Nasution.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli dilihat turut hadir

Selain itu, kehadiran Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman antara yang turut mencuri tumpuan para pengamal media.


(Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada pengamal media
yang berkumpul di luar pejabat beliau di Jalan Gasing, Petaling Jaya)

Kehadiran mereka adalah bagi membincangkan perkembangan terkini politik negara dan isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan parti.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar tiba di pejabatnya pada pukul 11.50 tengah hari.

Beliau sempat menyantuni para petugas media dan menyampaikan makanan tengah hari.

Lebih 50 pengamal media dari pelbagai agensi sudah berkumpul di perkarangan pejabat tersebut sejak pukul 8.00 pagi tadi.

Media Baharu