
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Penubuhan Pasukan Petugas Khas Keselamatan Ubat dan Peranti Perubatan memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan ubat serta peranti perubatan negara kekal mencukupi tanpa menjejaskan operasi fasiliti kesihatan awam, swasta dan pesakit.
- Menilai tahap risiko gangguan bekalan dan merangka langkah intervensi termasuk pengawalan harga ubat dan peranti perubatan.
- Mempelbagaikan sumber bahan mentah melalui kerjasama strategik dengan China, Afrika dan Amerika Selatan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga.
- Meneroka penggunaan bahan mentah tempatan seperti polimer untuk menggantikan resin dan mengurangkan kebergantungan import.
- Kenaikan harga masih terkawal dan bekalan mencukupi melalui stok sedia ada, jadi tiada keperluan langkah kawalan setakat ini.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Ts. Dr. Muralitharan Paramasua berkata, pasukan itu turut menilai tahap risiko gangguan bekalan serta merangka langkah intervensi termasuk aspek pengawalan harga ubat dan peranti perubatan.
Menurut beliau, antara langkah yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan bekalan ialah mempelbagaikan sumber bahan mentah menerusi kerjasama strategik dengan beberapa negara termasuk China.
“Kita juga sedang mempelbagaikan sumber bekalan bahan mentah dari negara-negara lain. Sebelum ini, kita banyak bergantung kepada Amerika Syarikat (AS), Jerman dan beberapa negara lain.
“Kini, kita turut beralih kepada China selain negara-negara di Afrika dan Amerika Selatan.
“Ini merupakan antara langkah yang diambil bagi memastikan kestabilan bekalan serta harga ubat dan peranti perubatan,” katanya kepada RTM.
Pada masa sama, kerajaan turut meneroka penggunaan sumber bahan mentah tempatan seperti polimer bagi menggantikan resin.
Beliau berkata, kajian dasar yang lebih terperinci sedang dilaksanakan termasuk meneliti beberapa isu yang perlu ditangani, khususnya dari aspek teknologi.
Mengulas mengenai peningkatan harga peranti perubatan, beliau menjelaskan kenaikan itu masih terkawal hasil pemantauan berterusan oleh Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Sekiranya berlaku kenaikan harga yang mendadak, kita boleh meletakkan item tertentu sebagai barangan kawalan seperti yang pernah dilaksanakan bagi kit ujian COVID-19 sebelum ini.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada keperluan untuk langkah tersebut kerana harga masih stabil dan bekalan masih mencukupi menerusi stok sedia ada,” katanya.