KAJANG, 26 Februari- Pasaran hartanah negara rekod prestasi memberangsangkan tahun lalu, dengan bilangan dan nilai transaksi mencecah rekod tertinggi sepanjang tempoh sedekad.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah transaksi naik 5.4 peratus kepada 420,525, berbanding lebih 399,000 pada 2023. Manakala, nilai transaksi melonjak 18 peratus kepada RM232.3 bilion, berbanding RM196.83 bilion.
"Ini bermakna ekonomi negara berkembang dengan baik. Semua sektor pun overhang berkurangan, itu tanda-tanda yang baik kerana penjualan pun lebih banyak tahun lalu daripada tahun sebelumnya", katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Tahun 2024.
Hartanah kediaman siap dibina yang tidak terjual berkurangan kepada 23,149 unit dengan nilai RM13.94 bilion. Ini berbanding 25,816 unit bernilai RM17.68 bilion pada 2023.
Prestasi positif ini turut disumbangkan beberapa inisiatif kerajaan untuk merangsang pertumbuhan pasaran hartanah, seperti pelonggaran syarat permohonan bagi program Malaysia Rumah Keduaku.