(Dua ditemukan rentung dalam kontena yang dijadikan pondok keselamatan di Taman Bayam)
ALOR SETAR, 12 Disember- Dua individu dipercayai pasangan kekasih ditemukan rentung dalam sebuah pondok keselamatan yang terbakar di Taman Bayam, Lunas, Kulim, tengah malam tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata mangsa lelaki berusia 30-an dan dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan itu, manakala mangsa wanita berusia 20-an.
Jelas Wan Hassan, kedua-dua mayat sukar dikenal pasti susulan rentung antara 70 hingga 80%, namun tiada unsur kianat ditemukan di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sudah melakukan siasatan di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan laporan bomba mendapati tiada unsur khianat.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, kontena itu berkunci dari dalam. Mungkin ketika kejadian mereka sedang tidur atau tidak sedar, biarlah siasatan dilakukan terlebih dahulu," katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini.
Wan Hassan berkata, mayat pasangan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk proses bedah siasat.
(Tiada unsur kianat ditemukan di lokasi dan kes diklasifikasikan
sebagai mati mengejut)