KUALA LUMPUR, 11 Jun- Semua maklumat berkaitan isi rumah akan dikumpulkan dan disaring secara telus dan tepat menerusi pangkalan data sistem 'eKasih' .
Ini bagi memastikan hanya individu dikategori sebagai miskin dan miskin tegar kekal dalam senarai berkenaan.
Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Mashitah @ Suhailah Suid berkata langkah itu juga penting dalam memastikan tiada keciciran berlaku.
"Kita mempunyai platform di peringkat daerah dan negeri untuk menyemak nama pemohon dan membuat sisihan awal.
"Selepas sisihan awal kita akan bawa kepada kumpulan fokus yang dipengerusikan oleh pegawai daerah. Di sini nama-nama ini akan diteliti dan diperakukan sebelum membolehkan pihak ICU JPM turun lapangan untuk membuat retifikasi di lapangan.
"Di sinilah maklumat kita kumpul kita ada 83 medan kita kumpul dan daftar dalam maklumat eKasih," kata Mashitah dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV 1.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU JPM, Norashiken Ishak berkata pangkalan data eKasih dapat membantu program pemberian bantuan bagi golongan miskin mencapai matlamatnya.
Menerusinya, setiap data akan melalui proses yang teliti termasuk proses sisihan, verifikasi dan pemutihan, bagi menjaga integriti peserta e-kasih dan memastikan yang benar-benar layak sahaja diberi bantuan.
(Norashiken Ishak berkata pangkalan data e-kasih dapat membantu program pemberian bantuan
bagi golongan miskin mencapai matlamatnya)
"Misalnya tadi kata ketua isi rumah punyai pendapatan RM4,000.
"Tetapi kita akan melihat juga jumlah bilangan ahli keluarga, sebab kita dalam menentukan mereka Ini miskin tegar ataupun miskin, kita akan melihat juga kepada pendapatan perkapita, maksudnya RM4,000 kalau ahli keluarganya ada 7,000, jadi mereka akan jatuh kategori miskin," katanya
Menurut beliau lagi, bagi memastikan tiada golongan yang layak menerima bantuan tercicir, platform eKasih turut dipantau di peringkat daerah dan negeri menerusi sisihan awal.
Ia diikuti dengan Focus Group Daerah dan Negeri bagi memastikan pihak ICU JPN turun ke lapangan bagi melakukan verifikasi.
Sistem eKasih ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.