KUANTAN, 5 Ogos - Pahang kekal sebagai antara penyumbang utama kepada sektor pertanian negara apabila mencatat nilai jualan RM25.12 bilion tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai itu sekali gus menjadikannya negeri kedua tertinggi selepas Johor.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, subsektor tanaman terus menjadi penyumbang terbesar dengan nilai RM22.11 bilion atau 88 peratus.
Ini diikuti subsektor ternakan (RM1.21 bilion), perikanan (RM0.91 bilion), perhutanan dan pembalakan (RM0.56 bilion) serta akuakultur (RM0.33 bilion).
“Untuk negeri Pahang, daripada RM161 bilion nilai jualan pertanian negara, sebanyak RM25.1 bilion disumbangkan oleh negeri ini, menjadikannya penyumbang kedua selepas Johor. Kita lihat Cameron Highlands masih menjadi peneraju pengeluaran sayur-sayuran dan kelapa sawit di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pahang di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.
Tambahnya, Cameron Highlands merekodkan nilai jualan sayur-sayuran sebanyak RM3.60 bilion manakala nilai jualan kelapa sawit di Pahang pula mencecah RM14.18 bilion, menjadikannya antara negeri utama dalam subsektor itu.
Dalam subsektor buah-buahan, Pahang berada di kedudukan kedua tertinggi negara dengan nilai jualan RM2.65 bilion, dipacu oleh tanaman durian sebagai penyumbang utama, diikuti tembikai, pisang, nangka dan betik.
Bagi subsektor ternakan, Pahang turut mencatatkan sebagai pengeluar susu segar terbesar negara dengan jumlah pengeluaran 9.05 juta liter setahun dan nilai jualan mencecah RM47.25 juta.