P. Pinang terus perkukuh hubungan ekonomi AS–Malaysia

Edgard D. Kagan

GEORGE TOWN, 6 Februari – Pulau Pinang terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, khususnya dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan modal insan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pulau Pinang sebagai contoh kejayaan hubungan ekonomi AS–Malaysia dalam pelaburan jangka panjang dan pembangunan modal insan.
  • Pelaburan AS menyumbang kepada pertumbuhan industri E&E, semikonduktor, peranti perubatan dan peluang pekerjaan tinggi.
  • Syarikat Amerika melabur dalam pembangunan kemahiran tempatan dan tanggungjawab sosial korporat, termasuk pendidikan sains.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan menyifatkan negeri itu sebagai contoh kejayaan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara, melibatkan pelaburan sejak lebih 130 tahun lalu.

Pelaburan AS dalam sektor getah, bijih timah, minyak dan gas serta pembuatan khususnya industri elektrik dan elektronik (E&E) telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ia turut membuka peluang pekerjaan kepada lebih 312,000 rakyat Malaysia di seluruh negara, selain melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor.

“Apa yang dapat kita lihat, Pulau Pinang menjadi contoh jelas manfaat yang diperoleh Amerika Syarikat hasil hubungan rapat dengan Malaysia. Pada masa sama, rakyat Malaysia turut menerima manfaat daripada kehadiran jangka panjang syarikat-syarikat Amerika.

“Manfaat itu termasuk pelaburan dalam pembangunan kemahiran dan bakat, apabila syarikat-syarikat Amerika melabur secara menyeluruh dalam tenaga kerja tempatan. Jika diperhatikan dengan lebih teliti, industri semikonduktor di Malaysia hari ini hampir keseluruhannya diasaskan atau diterajui oleh individu yang pernah berkhidmat dengan syarikat-syarikat Amerika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sesi pertemuan bersama media di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr Ooi Kee Beng.

Kagan turut menyatakan rasa bangga terhadap komitmen tanggungjawab sosial korporat syarikat Amerika di Malaysia, termasuk sumbangan kepada pendidikan sains melalui American Science Corner di Penang Science Cluster.

Tambahnya, Pulau Pinang bukan sahaja menjadi hab semikonduktor, malah turut memainkan peranan penting dalam industri peranti perubatan dan pembuatan-pembuatan lain. Kagan akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Duta Besar AS ke Malaysia ke-22 pada 15 Februari ini.