KUANTAN, 26 September - Program subsidi petrol bersasar BUDI95 yang diperkenalkan kerajaan terus menjadi tumpuan masyarakat menjelang pelaksanaannya hujung minggu ini.
Tinjauan di sekitar Kuantan mendapati sebahagian orang ramai sudah maklum mengenai program berkenaan, manakala sebahagian lain masih menunggu tarikh pelaksanaan untuk mencuba sendiri kaedahnya.
Seorang penduduk, Hasnah Abdul Rahman berkata, walaupun belum mencuba lagi, beliau yakin prosesnya tidak rumit dan boleh dipelajari dengan mudah.
Bagi Che Mohd Razak Izrul Hizam, maklumat mengenai BUDI95 diperoleh melalui kenalan dan aplikasi WhatsApp, namun masih ada kekeliruan dalam memahami tujuan sebenar program itu.
Sementara itu, rata-rata pengguna melahirkan rasa syukur kerana inisiatif berkenaan diyakini dapat mengurangkan beban perbelanjaan bulanan.
Seorang lagi responden, Nor Afza Zahirah Zaidi menjelaskan, jumlah subsidi yang diberikan mampu memberi penjimatan ketara terutama kepada pengguna tegar petrol.
Pandangan sama dikongsi Azhar Muhammad yang menyifatkan harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter sebagai satu bentuk bantuan penting kepada rakyat.
Bermula 27 September, polis dan tentera akan menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol tersebut, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September. Seluruh rakyat yang layak pula akan menikmatinya bermula 30 September.
Antara syarat kelayakan ialah memiliki MyKad serta lesen memandu yang sah. Bagi mereka yang tidak layak, petrol RON95 akan dijual pada harga tanpa subsidi yang ditetapkan Kementerian Kewangan, iaitu dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
BERITA BERKAITAN