fb fb fb fb fb

Ops Tiris, rampas 6.441 juta liter minyak diesel - KPDN

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam

PUTRAJAYA, 11 Januari- 6.441 juta liter minyak diesel bernilai RM14.2 juta berjaya dirampas menerusi Ops Tiris yang berlangsung sejak Mac sehingga Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata operasi yang melibatkan langkah penguatkuasaan pencegahan pengubahan wang haram tersebut disifatkan berjaya dan akan diteruskan pada tahun ini.

Beliau menegaskan KPDN komited membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan sekali gus, memastikan bekalan minyak diesel bersubsidi disalurkan kepada pihak yang layak.

"Tanggungan kerajaan untuk subsidi diesel adalah tinggi. Kita tahu harga diesel kita antara yang paling rendah dan itu menyebabkan berlakunya penyeludupan, dan juga penyalahgunaan daripada pihak industri. Ada pihak yang tidak sepatutnya menggunakan minyak diesel bersubsidi ini, mereka gunakan pelbagai kaedah mencari jalan untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi untuk kegunaan industri mereka."

"Bila kita kuat kuasa AMLA, kita ada parameter contohnya kesalahan melepasi tahap tertentu RM500,000 nilai rampasan, kita akan siasat bawah AMLA. Namun, jika kesalahan 1,000-2,000 liter yang tidak mencapai nilai tertentu, itu kita akan siasat juga bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," kata Azman pada sidang media Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), di sini.

Beliau memaklumkan sepanjang tahun lalu, hasil siasatan terhadap 877 kes telah membawa kepada penahanan 667 individu.

Selain rampasan diesel, kenderaan dan peralatan yang disyaki diguna oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan tersebut turut dirampas dengan nilai RM42.138 juta.

Beliau mengingatkan pengusaha stesen minyak agar menjalankan perniagaan mengikut undang-undang dan KPDN tidak teragak-agak mengeluarkan arahan pembatalan lesen sekiranya mereka didapati bersalah.

Selain itu, pihaknya meminta masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mendapati sebarang aktiviti penyelewengan minyak diesel berlaku.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM