Op HRA 2026: Penguatkuasaan lebih agresif dilaksanakan JPJ Terengganu

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion / FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Operasi Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2026 yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu memberi tumpuan kepada pemeriksaan serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya terhadap semua pengguna, termasuk kenderaan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan lebih agresif termasuk kaedah penyamaran bagi memantau serta menasihati pemandu kenderaan komersial dan pengangkutan awam.
  • Tumpuan membanteras mat rempit serta pengubahsuaian motosikal tidak sah yang meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya melibatkan golongan muda.
  • Tempoh penguatkuasaan 13 hari bermula 16 hingga 29 Mac meliputi seluruh Terengganu termasuk pintu masuk utama negeri.

Operasi itu dilaksanakan berdasarkan analisis risiko trafik dan pola kemalangan pada musim perayaan terdahulu yang menunjukkan peningkatan kadar kemalangan serta kematian melibatkan pelbagai kategori pengguna dan jenis kenderaan.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, penguatkuasaan kali ini dilaksanakan secara lebih agresif termasuk menggunakan kaedah penyamaran bagi memantau serta menasihati pemandu kenderaan komersial dan pengangkutan awam.

Selain itu, operasi di lapangan turut dipertingkat bagi memastikan pelaksanaan Op HRA mencapai objektif yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa kegiatan berisiko yang sering berlaku ketika musim perayaan seperti lumba haram, pengubahsuaian motosikal secara tidak sah serta pelbagai kesalahan trafik lain boleh meningkatkan risiko kemalangan.

“Kita sedia maklum golongan anak muda antara yang paling ramai terlibat dalam kemalangan motosikal. Mereka perlu sedar bahawa pengubahsuaian teknikal bukan sekadar untuk kelihatan menarik, tetapi boleh memberi kesan kepada kelajuan dan seterusnya meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Op HRA turut menumpukan operasi membanteras kegiatan mat rempit dan setakat ini sebanyak 22 motosikal telah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan berulang.

Tempoh penguatkuasaan serta pemantauan Op HRA berlangsung selama 13 hari bermula 16 hingga 29 Mac, meliputi seluruh negeri Terengganu termasuk di pintu masuk utama ke negeri itu sepanjang musim perayaan.