
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Johor, Amira Aisya Abd Aziz dipilih sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang baharu bagi penggal 2026 hingga 2029.
- Pemilihan dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan 2025 di Petaling Jaya, turut memilih kepimpinan sulung parti.
- Amira Aisya sebelum ini memegang jawatan pemangku presiden MUDA.
- Pemilihan CEC melibatkan 31 calon yang bertanding untuk mengisi 25 kerusi Jawatankuasa Eksekutif Pusat.
Pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2025 yang turut menyaksikan pemilihan kepimpinan sulung parti berkenaan, berlangsung di Petaling Jaya, pada Sabtu.
Amira Aisya sebelum ini memegang jawatan sebagai pemangku presiden parti tersebut.
Ketua Penerangan MUDA, Rasid Abu Bakar berkata, Amira Aisya dipilih sebagai Presiden oleh 25 ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dibentuk menerusi pemilihan parti itu.
Terdahulu, pemilihan berkenaan menyaksikan seramai 31 calon bertanding bagi mengisi 25 kerusi dalam CEC.
Sebelum ini, MUDA dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang melepaskan jawatan presiden pada 9 November 2023.
MUDA pula secara rasmi diluluskan sebagai sebuah parti politik oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 23 Disember 2021.
Berikut senarai kepimpinan baharu MUDA bagi sesi 2026 hingga 2029:
Presiden: Amira Aisya Abd Aziz
Timbalan Presiden: Zaidel Baharuddin
Naib Presiden: Faezrah Rizalman, Leben Siddarth, Zarul Afiq, Dobby Chew dan Dr R. Siva Prakash
Ketua Penerangan: Rasid Abu Bakar
Setiausaha Agung: Ainie Haziqah