PUTRAJAYA, 19 Januari - Seramai 106 pegawai penentusahan syarikat DE Metrology Sdn Bhd (DMSB) akan dilatih oleh Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia, SIRIM (NMIM).
Ia bertujuan untuk menjalankan kerja penentusahan alat timbang dan sukat bagi kegunaan perdagangan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata dengan termeterainya memorandum perjanjian itu akan memantapkan lagi pengetahuan dan pembangunan kompetensi pegawai penentusahan bagi kegunaan perdagangan kepada semua pihak berkepentingan dalam bidang metrologi perundangan.
"Pertukaran memorandum perjanjian ini turut membantu meningkatkan kemahiran bagi menyediakan perkhidmatan penentusahan alat timbang dan sukat yang tepat," katanya dalam sidang media selepas majlis pertukaran memorandum perjanjian antara NMIM-SIRIM dan DMSB di sini.
NMIM adalah penyimpan timbang dan sukat selain berperanan menasihati menteri mengenai perkara berkaitan pengukuran mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
Selain itu, NMIM juga memberi latihan, khidmat nasihat dan perundingan mengenai pengukuran, teknologi pengukuran serta perkara berkaitan.