Nismilan Water Music Festival tarik 20,000 pengunjung ke Port Dickson

Nicole Tan Lee Koon

PORT DICKSON, 3 Mei – Nismilan Water Music Festival 2026 muncul antara tarikan utama pelancongan Negeri Sembilan sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival dua hari di Pantai Batu 4 gabungkan muzik dan elemen air dengan aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
  • Penganjuran selari usaha kerajaan negeri merancakkan pelancongan dan memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan.
  • Lebih 120 pengusaha gerai serta restoran menerima limpahan ekonomi, sambil festival tonjolkan artis tempatan dan pertunjukan bunga api.

Festival selama dua hari di Pantai Batu 4, Port Dickson itu menggabungkan elemen muzik dan air berlatarkan keindahan pantai, dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

Penganjurannya selari dengan usaha kerajaan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan serta memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan pelancong.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata setiap negeri mempunyai keunikan tersendiri untuk diketengahkan, khususnya melalui budaya tempatan.

“Negeri diberi kebebasan untuk menonjolkan keunikan masing-masing terutama budaya tempatan. Di Negeri Sembilan, kami menggunakan laut sebagai identiti utama selain mengetengahkan sembilan identiti negeri ini sebagai keunikan tersendiri.

“Festival ini juga memberi manfaat besar kepada lebih 120 pemilik gerai dan restoran yang menerima limpahan ekonomi daripada penganjurannya,” katanya selepas merasmikan festival itu, malam tadi.

Lebih 120 pengusaha tempatan termasuk peniaga dan pengendali makanan menerima manfaat langsung menerusi peningkatan aktiviti ekonomi setempat.

Dalam masa sama, festival berkenaan turut memperlihatkan potensi kukuh sektor pelancongan domestik walaupun berdepan cabaran global.

Selain menjadi platform pelancongan, festival itu turut dianjurkan sebagai penghargaan kepada golongan pekerja sempena sambutan Hari Pekerja serta menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Aishah Retno dan Tam Spider, selain pertunjukan bunga api.