Nelayan Berkolek Festival 2026 angkat warisan tradisional Terengganu

Antara pameran dan aktiviti dianjurkan pada Nelayan Berkolek Festival 2026./ RTM

KUALA TERENGGANU, 6 November – Persatuan Pemuliharaan Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu (PULIHARA) terus mengangkat warisan tradisional negeri itu menerusi penganjuran Nelayan Berkolek Festival 2026, sebagai usaha memastikan seni dan budaya tempatan tidak dilupakan generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival menjadi platform memperkenalkan tradisi maritim Terengganu kepada golongan muda dan pengunjung.
  • Penjagaan warisan tradisional dianggap lambang kepelbagaian budaya, etnik dan agama serta identiti negara.
  • Pameran dan demonstrasi memberi peluang generasi muda mengenali kembali kehidupan dan amalan tradisional nelayan.
  • Warisan nelayan seperti perahu pinas, gobek, payang perlu dipelihara agar tidak ditelan arus pemodenan.

Festival berkenaan bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya masyarakat nelayan, malah menjadi platform memperkenalkan pelbagai tradisi dan warisan maritim Terengganu kepada golongan muda serta pengunjung.

Penasihat PULIHARA, Yang Mulia Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, warisan tradisional perlu terus dipelihara kerana menjadi lambang kepelbagaian budaya, etnik dan agama yang membentuk identiti negara.

Menurutnya, pendekatan menerusi pameran dan demonstrasi dapat memberi peluang kepada generasi muda mengenali semula kehidupan serta amalan tradisional masyarakat terdahulu.

“Kami berhasrat untuk mengimbau kembali tradisi kita dahulu. Tidak semestinya kita mengalami sendiri kehidupan lama, tetapi kita bawa dalam bentuk pameran dan demonstrasi supaya anak-anak muda serta pengunjung dapat melihatnya.

“Banyak tradisi nelayan yang semakin kita lupakan, contohnya perahu-perahu tradisional yang digunakan nelayan untuk ke laut suatu ketika dahulu.

“Apabila kita sebut perahu pinas, perahu gobek dan perahu payang, generasi sekarang mungkin tidak lagi mengenalinya,” katanya ketika ditemui RTM pada program Nelayan Berkolek Festival 2026 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu.

Katanya, warisan nelayan berkolek bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya mencerminkan identiti dan kebanggaan masyarakat Terengganu yang perlu terus dipelihara agar tidak ditelan arus pemodenan.

Usaha berkenaan juga penting bagi memastikan khazanah budaya tempatan terus dikenali, dihargai dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.