NAIO beroperasi sebagai institusi rasmi mulai 28 Julai

Menteri Digital Gobind Singh Deo/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) akan beroperasi sebagai sebuah institusi rasmi bermula 28 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • NAIO diberi kuasa menyelia dan menyelaras pembangunan serta tadbir urus kecerdasan buatan di Malaysia.
  • Menumpukan dasar, tadbir urus, pembangunan ekosistem dan melahirkan bakat untuk mewujudkan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
  • Kerajaan sedang mengkaji peraturan dan tadbir urus; sebuah jabatan NAIO sedang menggubal Rangka Kerja Tadbir Urus AI.
  • Pejabat piawaian ditubuhkan untuk menjadi sebahagian daripada NAIO di Cyberjaya.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, status tersebut membolehkan NAIO diberikan kuasa bagi menyelia dan menyelaras pembangunan serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menetapkan tarikh pada 28 Julai untuk mentransformasi NAIO menjadi sebuah institusi rasmi.

“NAIO akan menjadi institusi yang memberi tumpuan kepada dasar, tadbir urus dan pembangunan ekosistem AI, selain membantu melahirkan bakat serta individu yang mampu membangunkan teknologi AI bagi merealisasikan visi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.”

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Data Pelbagai Tapak Digital Realty di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Gobind berkata kerajaan masih meneliti aspek peraturan dan tadbir urus dalam usaha membangunkan Rangka Kerja Tadbir Urus AI.

“Ketika ini, terdapat satu jabatan di NAIO yang sedang menggubal rangka kerja berkenaan.

“Kami juga telah menubuhkan sebuah pejabat piawaian yang akan menjadi sebahagian daripada NAIO di Cyberjaya,” katanya.

NAIO dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 12 Disember 2024 sebagai bukti komitmen Malaysia untuk muncul sebagai peneraju kecerdasan buatan dan transformasi digital di rantau ASEAN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.