Naik taraf rangkaian kepada 5G di N. Sembilan secara berperingkat mulai tahun ini

Foto BERNAMA

KUALA PILAH, 25 April – Kerja naik taraf rangkaian telekomunikasi daripada 4G kepada 5G di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Negeri Sembilan akan dilaksana secara berperingkat mulai tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 19 menara majoritinya 4G sedia dinaik taraf kepada 5G; pelaksanaan berperingkat pada 2026 hingga awal 2027.
  • Naik taraf bertujuan memastikan akses internet lebih stabil, berkualiti dan capaian lebih baik kepada rakyat.
  • Projek JENDELA Taman Redani beroperasi sejak 31 Dis memberi manfaat kira-kira 2,000 penduduk dan capaian Kuala Pilah meningkat kepada 99%.

Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, langkah berkenaan merupakan kesinambungan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati akses internet yang lebih stabil, berkualiti dan menyeluruh.

“Sekarang kita ada 19 menara dengan majoritinya adalah 4G dan sedia dinaik taraf kepada 5G. Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh 2026 sehingga awal 2027. Kita akan dapat menikmati kelajuan internet lebih baik,” katanya.

Beliau ditemui ketika lawatan ke Tapak Infrastruktur Komunikasi bagi pelaksanaan JENDELA di Taman Redani, Juasseh, di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, projek JENDELA di Taman Redani yang mula beroperasi sejak 31 Disember tahun lalu kini memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk setempat.

Pelaksanaan projek itu turut menyumbang kepada peningkatan capaian internet di Kuala Pilah sehingga 99 peratus, setakat 28 Februari lalu.