Malaysia sumbang alat pemadam api ringan kepada 100 masjid di Pekanbaru

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 April – Kerajaan Malaysia melalui Konsulat Jeneral di Pekanbaru menyumbang alat pemadam api ringan (APAR) kepada 100 masjid di Pekanbaru, Riau, Indonesia, sebagai usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat tempatan menghadapi kebakaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan dibiayai Tabung Strategik Hubungan Malaysia-Indonesia yang dikelolakan oleh Kementerian Luar Malaysia.
  • Inisiatif dilaksanakan bersama DAMKAR dan Pejabat Kementerian Agama Kota Pekanbaru; APAR diserahkan kepada pengurus masjid disaksikan wakil walikota.
  • Walikota menghargai sumbangan dan menegaskan APAR boleh jadi langkah awal untuk mencegah atau memadamkan kebakaran.

Konsul Malaysia di Pekanbaru, Mohammed Hosnie Shahiran Ismail berkata inisiatif itu dibiayai Tabung Strategik Hubungan Malaysia- Indonesia yang dikelolakan oleh Kementerian Luar Malaysia.

“Sumbangan ihsan ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat tempatan,” katanya kepada Bernama.

Mohammed Hosnie Shahiran menyampaikan APAR kepada pengurus masjid pada Jumaat. Hadir sama ialah wakil Walikota Pekanbaru Markarius Anwar.

Inisiatif itu hasil kerjasama Konsulat Malaysia di Pekanbaru dengan Dinas Pemadam Kebakaran dan Penyelamat (DAMKAR) serta Pejabat Kementerian Agama Kota Pekanbaru.

Sementara itu, Markarius menzahirkan rasa terima kasih kepada Konsulat Malaysia di Pekanbaru dan menyifatkan sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan yang amat bermakna.

“Kita semua berharap kebakaran dapat dicegah, namun sekiranya berlaku, APAR boleh menjadi langkah awal untuk memadamkan api,” katanya.

Konsulat Malaysia di Pekanbaru sebelum ini turut menaik taraf sebuah klinik di Pusat Tahfiz Ma’had Tafaqquh, Riau yang dibiayai oleh Tabung Strategik Hubungan Malaysia-Indonesia tahun lalu.-BERNAMA