fb fb fb fb fb

Nahas helikopter TLDM: "Setinggi-tinggi penghargaan buat semua perwira negara yang terlibat"- Ahmad Zahid

Nahas helikopter di Lumut, tangkap layar video tular di media sosial

KUALA LUMPUR, 23 April- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa dukacita berhubung insiden helikopter TLDM terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pagi tadi.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menerusi satu kenyataan berkata peristiwa itu bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga mangsa, malah turut menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya mengucapkan takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

"TLDM juga telah menyatakan bahawa satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berharap agar orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menghargai sensitiviti keluarga serta menganggu proses penyiasatan.

Ahmad Zahid turut menyatakan setinggi-tinggi penghargaan buat semua perwira negara yang terlibat di dalam nahas tersebut.

"Segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan untuk melindungi kedaulatan tanah air pastinya akan terus dikenang. Semoga segala urusan dipermudahkan olehNya", katanya.

ROSLINA BINTI DIN