KUALA LUMPUR, 13 November- Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) bersama Pertubuhan Kebajikan Mahabbah Malaysia (MAHABBAH) dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menghantar memorandum ke beberapa negara Arab termasuk Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu sebagai tanda bersolidariti menyatakan sokongan kepada Palestin.
Sekretariat MWCQP, Dr Norazzah Asat berkata serahan memorendum tersebut akan dilakukan dalam waktu terdekat sebagai sebagai tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan dahsyat di Gaza.
"Sebelum ini kita sudah hantar memorandum kepada AS sebab kita wanita, kita hendak beritahu bahawa sayap wanita sangat prihatin terhadap nasib wanita di Gaza, dan kita tahu Israel menyerang untuk wanita dan anak-anak supaya jadi lemah jadi itu antara usaha kita,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkaspuri.
Selain itu, beliau yang juga Pengerusi MAHABBAH berkata, MWCQP akan menjelajah ke seluruh negara bermula Disember ini dengan lokasi pertama bermula di Perlis dan berakhir di Johor.
Program jelajah itu bertujuan mengajak masyarakat untuk sama-sama menyatakan solidariti mereka untuk menamatkan penderitaan di Gaza, sekali gus mewujudkan keadaan untuk masa depan yang adil dan aman bagi rakyat Palestin.