
SAUDARA PENGARANG
- Hentikan budaya menghakimi berasaskan cebisan maklumat; konteks terpotong sering mencetus persepsi salah dan hukuman moral segera.
- Tekanan ekonomi dan algoritma menggalakkan clout chasing, memperkuat reaktiviti dan normalisasi kecaman di ruang maya.
- Buli siber, doxxing dan mob mentality memusnahkan ruang selamat, membahayakan pemandiri kesihatan mental hingga trauma serius.
- Amalkan kawalan kendiri; berhenti sebelum berkongsi. Empati tanggungjawab kita, jangan jadi hakim maya tanpa menyiasat.
Kemajuan teknologi komunikasi pada asalnya direka untuk merapatkan jurang interaksi manusia. Namun, melalui pemerhatian corak tingkah laku pengguna media sosial masa kini, platform ini telah berevolusi menjadi sesuatu yang lebih kompleks.
Di Malaysia, media sosial telah membentuk satu ekosistem baharu yang mengubah cara masyarakat kita memproses maklumat, menilai individu lain dan melepaskan emosi.
Di sebalik kerancakan kita berkongsi kandungan dalam media sosial, wujud satu kelompangan merisaukan iaitu kecenderungan kita untuk membedah dan menghakimi kehidupan orang lain berbekalkan sekelumit maklumat.
Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila ia dilihat mula membarah serentak dengan fasa ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan kos sara hidup disebabkan peperangan di Asia Barat.
Ilusi Kesempurnaan, Konteks Terpotong dan Tekanan Ekonomi
Dalam kajian tingkah laku digital, kita sering mendapati bahawa kandungan yang dikongsi hanyalah satu cebisan kecil daripada realiti sebenar.
Satu video berdurasi 15 saat di TikTok, tangkap layar perbualan WhatsApp yang sekerat jalan atau sekeping gambar yang dimuat naik di media sosial, sudah cukup untuk dijadikan ‘bukti kukuh’.
Bayangkan senario yang kerap terjadi di negara kita. Misalnya, seorang individu dirakam sedang meninggikan suara di sebuah premis. Tanpa mengetahui konteks sebenar, mungkin individu tersebut sedang mengalami kecelaruan emosi yang teruk atau baru sahaja menerima berita kematian, video tersebut ditularkan.
Dalam masa beberapa jam sahaja, ribuan komen mula membanjiri ruang maya. Masyarakat kita dengan mudah membentuk persepsi, melabel personaliti dan menjatuhkan hukuman moral seolah-olah mereka adalah saksi di mahkamah.
Realitinya, sikap terlalu cepat menjatuhkan hukuman ini tidak berlaku dalam ruang vakum. Ketika rakyat bergelut dengan tekanan ekonomi, dibayangi kerisauan tentang inflasi, turun naik kadar faedah perbankan dan ketidaktentuan peluang pekerjaan, ruang maya sering kali bertukar menjadi “tong sampah emosi”.
Medium digital digunakan sebagai proksi jalan pintas untuk masyarakat melepaskan kemarahan serta tekanan realiti kehidupan yang tidak terbendung, menjadikan mereka lebih reaktif dan kurang rasional apabila berhadapan dengan sesuatu isu tular.
Dinamik toksik ini diperburukkan lagi oleh pihak yang gemar mengambil kesempatan atau menangguk di air yang keruh. Dalam konteks ini, peranan pempengaruh media sosial (influencer) tidak boleh dikesampingkan dalam merancakkan lagi budaya menghakimi dengan “menunggang” isu-isu.
Perbuatan ini dikenali sebagai tingkah laku “mencari populariti dan perhatian” atau clout chasing.
Dalam perlumbaan mengejar algoritma, jumlah tontonan dan keterlibatan (engagement), segelintir pempengaruh sering “menunggang” isu-isu sedang hangat dengan memuat naik video ulasan, menokok tambah spekulasi atau bertindak sebagai ‘polis moral’ tidak bertauliah.
Tingkah laku ini secara tidak langsung mengabsah atau “menghalalkan” tindakan mengecam dan seolah-olah memberi “lesen” kepada ratusan ribu pengikut mereka untuk turut serta mengecam mangsa.
Malah, tidak kurang juga golongan yang mengambil peluang menakutkan masyarakat secara berlebihan (fear-mongering) dengan mencetuskan panik moral mengenai masa depan ekonomi negara atau meramalkan krisis yang belum pasti untuk mendapatkan tontonan tinggi.
Akibatnya, isu yang mungkin sekadar konflik peribadi atau kesilapan kecil diperbesar menjadi krisis berskala nasional menyebabkan mangsa terus dihentam bertubi-tubi manakala pempengaruh terbabit mengaut keuntungan daripada tontonan.
Naratif ketakutan ini menyebabkan masyarakat hidup dalam kebimbangan yang berpanjangan, mengaburkan sempadan antara realiti dan spekulasi digital.
Dari Komen Santai ke Kancah Buli Siber yang Menyakitkan
Rentetan daripada sensasi yang dicipta, apa yang bermula sebagai teguran atau “pendapat peribadi” sering kali membarah menjadi buli siber.
Dinamik platform yang mengutamakan kelajuan berbanding kewarasan akal menyebabkan pertimbangan etika diketepikan. Ilusi kebebasan bersuara dan perlindungan di sebalik skrin gajet pintar membuatkan pengguna hilang rasa segan silu.
Dalam budaya tempatan, wacana digital ini adakalanya menjadi sangat toksik. Ia bermula dengan pendedahan maklumat peribadi atau doxxing, di mana privasi individu diselongkar. Ruang komen kemudiannya bertukar menjadi medan pembunuhan karakter yang penuh dengan maki hamun dan sindiran susuk tubuh (body shaming).
Perkara ini dikeruhkan lagi dengan mentaliti berkelompok (mob mentality) atau pengguna merasa mempunyai hak mengecam mangsa kerana melihat ribuan orang lain turut melakukan perkara yang sama.
Kejayaan menjatuhkan individu lain ini dikenali sebagai satu kepuasan palsu atau false sense of gratification yang pada masa sama menutup sementara realiti kehidupan mereka sendiri yang mungkin sedang dihimpit masalah seperti cabaran kewangan dan isu-isu peribadi lain.
Ancaman Kritikal Kepada Pemandiri Kesihatan Mental
Walaupun orang awam mungkin melihat isu tular ini sebagai bahan hiburan atau gosip harian, kelompok yang paling teruk terjejas akibat ekosistem digital yang tidak sihat ini ialah pemandiri kesihatan mental atau mental health survivors/fighters.
Kesan psikologi terhadap individu yang menjadi sasaran “tentera papan kekunci” (keyboard warrior) ini sangat nyata. Kata-kata yang ditaip secara santai sambil berehat di kedai kopi boleh mencetuskan trauma, serangan panik, depresi, malah keinginan membunuh diri kepada si mangsa yang keseorangan menatap skrin telefon mereka.
Bagi pemandiri kesihatan mental yang sudah pun bertarung nyawa melawan kecelaruan mental, ditambah pula dengan beban kewangan akibat kos rawatan dan terapi di fasa kegawatan ekonomi, ruang siber hari ini adalah medan ranjau yang membinasakan.
Apabila budaya caci maki dan eksploitasi isu emosi dinormalisasikan oleh masyarakat, ia secara langsung menghancurkan ruang selamat (safe space) yang cuba dibina oleh pemandiri kesihatan mental ini untuk mencari sokongan.
Dari sudut pandang akademik, fenomena ini mencerminkan krisis empati dan apa yang dipanggil sebagai penyahmanusiaan (dehumanization).
Apabila seseorang ditularkan, masyarakat berhenti melihat mereka sebagai insan yang mempunyai jiwa, latar belakang dan titik kelemahan. Mereka direndahkan sebagai bahan kandungan di media sosial yang boleh dihakimi dan dijadikan bahan jenaka.
Kita lupa bahawa di sebalik akaun atau wajah yang tular itu, wujud seorang manusia yang sedang hancur emosinya. Menakut-nakutkan masyarakat dan menjejaskan emosi insan-insan rapuh ini demi interaksi digital adalah satu bentuk keganasan psiko-sosial yang tidak boleh dipandang ringan.
Memulihkan Kemanusiaan Digital Dalam Kalangan Masyarakat
Landskap dunia siber masa kini memerlukan satu anjakan paradigma yang drastik. Jika budaya “tularkan dahulu, siasat kemudian” ini terus dinormalisasikan, kita berisiko melahirkan generasi yang dingin, cepat melenting dan sifar toleransi.
Platform yang sepatutnya menjadi ruang dialog sihat dan perkongsian ilmu akhirnya merosot menjadi gelanggang buli siber yang tidak berkesudahan.
Lebih-lebih lagi ketika negara dan rakyat sedang menggembleng tenaga untuk kembali bangkit daripada cabaran pascapandemik dan ekonomi global yang tidak menentu, perpaduan dan sokongan moral sesama warga adalah jauh lebih berharga daripada jumlah suka (likes) atau tontonan maya.
Sebagai pengguna yang matang, kita perlu mempraktikkan kawalan kendiri (self-regulation). Sebelum menekan butang kongsi atau menulis komen yang berbisa, berhenti sejenak dan tanyakan pada diri. Adakah kita tahu cerita penuh? Adakah komen kita ini membantu atau memusnahkan?
Kebebasan bersuara adalah hak, tetapi empati adalah tanggungjawab. Kesantunan kita di alam siber adalah cerminan sebenar adab dan nilai kemanusiaan dalam alam realiti.
Tiba masanya untuk kita memecat diri kita daripada jawatan “hakim maya” tidak bergaji ini dan kembali menyemai ihsan demi kelangsungan kewarasan serta kesejahteraan kesihatan mental sebuah bangsa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif
Universiti Utara Malaysia
e-mel: norintan@uum.edu.my