fb fb fb fb fb

MOT jamin subsidi RAS diteruskan kepada MASwings

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 23 Oktober – Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi jaminan bahawa Subsidi Kemudahan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) akan terus disalurkan kepada MASwings Sdn. Bhd., meskipun syarikat tersebut bakal diambil alih oleh Kerajaan Negeri Sarawak tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan bahawa MOT komited untuk memastikan industri penerbangan luar bandar terus diberi keutamaan, tanpa mengira pihak yang mengendalikannya.

Ujarnya, ia adalah sebahagian daripada usaha MOT untuk memastikan perkhidmatan penting tersebut tidak terjejas, terutamanya bagi masyarakat di kawasan pedalaman.

"Kami telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Sarawak bahawa sekiranya mereka mengambil alih MASwings, subsidi untuk perkhidmatan udara luar bandar akan tetap diteruskan.

"Kementerian Pengangkutan mempunyai peruntukan khusus untuk memastikan penerbangan luar bandar tidak terganggu," kata Loke selepas merasmikan Pameran dan Persidangan ASEAN Ports and Logistics 2024 di Johor Bahru hari ini.

Langkah berkenaan adalah selari dengan kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang baru-baru ini memaklumkan bahawa proses pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Negeri Sarawak sedang dalam peringkat akhir rundingan.

Antara pihak yang terlibat dalam perbincangan ini termasuk Malaysian Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional Berhad, dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAB).

Kerajaan Negeri Sarawak kini dalam peringkat rundingan lanjutan dengan beberapa pihak berkepentingan, termasuk Malaysian Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional Berhad dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAB).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD