
KOTA KINABALU, 21 September – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu bakat muda yang dicungkil menerusi Malaysia Techlympics terus dibimbing sehingga mampu menghasilkan projek dan produk yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat.
- MOSTI dan agensi menyediakan bimbingan serta panduan susulan kepada peserta yang dikenal pasti berpotensi.
- Peserta digalakkan mengembangkan idea inovasi menjadi projek atau produk yang menyelesaikan masalah negara dan masyarakat setempat.
- Inovasi perlu berasaskan keperluan sebenar industri, negara dan masyarakat, selari usaha melahirkan generasi kreatif serta memperkukuh kepakaran Sains dan Teknologi.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, MOSTI bersama agensi berkaitan akan mengambil tindakan susulan dengan menyediakan bimbingan dan panduan kepada peserta yang dikenal pasti berpotensi.
“Usaha itu penting bagi memastikan bakat muda yang diketengahkan menerusi pertandingan berkenaan tidak terhenti selepas menamatkan persekolahan atau pengajian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi Bersepadu Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Tambahnya lagi, peserta turut digalakkan mengembangkan idea inovasi sehingga mampu menghasilkan projek atau produk yang dapat membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi negara dan masyarakat setempat.
“Inovasi yang dihasilkan juga perlu berasaskan keperluan sebenar industri, negara dan masyarakat, bukannya sekadar menghasilkan sesuatu tanpa mengambil kira keperluan semasa.
“Pendekatan itu selari dengan usaha MOSTI melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif, selain memperkukuh kepakaran dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sabah menghimpunkan 1,043 peserta daripada sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia Techlympics 2026 di peringkat negara kini mencecah 2.87 juta peserta.