
KUCHING, 21 September – Projek berkaitan kawalan keselamatan sempadan negara bukan projek biasa, sebaliknya perlu diberi keutamaan dan disiapkan mengikut jadual.
- Projek keselamatan sempadan mesti diberi keutamaan dan disiapkan mengikut jadual untuk mengekalkan kedaulatan negara.
- Projek diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara untuk mempercepat pelaksanaan dan memantau pematuhan garis masa.
- Cabaran utama termasuk penyediaan jalan serta utiliti seperti elektrik, air dan telekomunikasi perlu diselaraskan segera.
- Projek ICQS Serikin mencatat kemajuan kira-kira 11 peratus, mendahului jadual enam hari, dijangka siap dalam setahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menegaskan, perkara itu bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Projek-projek yang berkaitan dengan majlis keselamatan negara ini terutama sempadan kita perlu diberi priority. Maksudnya apabila kita berada dalam kategori untuk menjamin keselamatan negara ini, kita perlu buat projek ini bukan seperti projek biasa.
“Sebab kita mahu supaya projek-projek ini dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan. Itu yang diletakkan bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya ia dapat dipercepatkan.
“Jadi, saya harap semua pihak yang terlibat dapat memberi priotiry kepada projek-projek ini supaya dapat disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketikam ditemui pemberita semasa lawatan kerja ke tapak Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin di sini.
Menurut Datuk Mustapha projek itu kini mencapai kemajuan kira-kira 11 peratus dan mendahului jadual enam hari.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan berkenaan cabaran pelaksanaan projek antaranya penyediaan jalan raya dan kemudahan utiliti termasuk bekalan elektrik, air serta telekomunikasi, yang perlu diselaraskan bagi mengelakkan kelewatan.
Beliau juga menghargai kerjasama baik Kerajaan Sarawak yang menyediakan dana bagi pembinaan jalan raya menuju ke ICQS Serikin.
ICQS Serikin dijangka siap dalam tempoh setahun, manakala projek PKS Telok Melano dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Terdahulu, beliau melawat projek Pusat Kawalan Sempadan (PKS) Telok Melano yang dalam proses tender.