MKN sokong pelaksanaan latihan ketenteraan secara profesional dan selamat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyokong penuh komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan latihan ketenteraan secara profesional, terancang dan mematuhi semua garis panduan keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua latihan dan operasi perlu mengikut SOP serta ketetapan pihak berkuasa, dengan penekanan kepada keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
  • Latihan tertakluk kepada prosedur kelulusan ketat yang memerlukan penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan.
  • Permohonan mesti dikemukakan dalam tempoh ditetapkan, mendapat pengesahan pihak berkuasa dan memaklumkan pemilik kawasan serta sensitiviti setempat.
  • Latihan dilaksanakan secara tersusun, selamat dan berhemah melalui kerjasama erat ATM, kerajaan negeri serta agensi berkaitan.

MKN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa setiap aktiviti latihan dan operasi ketenteraan perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan, termasuk memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.

Menurut kenyataan itu, semua latihan tertakluk kepada prosedur kelulusan ketat yang memerlukan penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan.

“Setiap permohonan perlu melalui proses kelulusan serta pengesahan oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri serta agensi teknikal,” menurut kenyataan itu.

MKN turut menegaskan bahawa permohonan latihan perlu dikemukakan dalam tempoh ditetapkan sebelum pelaksanaan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan prosedur serta sensitiviti setempat diberi perhatian sewajarnya, termasuk memaklumkan kepada pemilik kawasan terlibat.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan memaklumkan SOP berkaitan latihan ketenteraan akan terus diperketat dari semasa ke semasa, selain penilaian pascalatihan dilaksanakan bagi menilai keberkesanan serta impak yang berlaku.

“Langkah ini juga bagi memastikan peruntukan dan tanggungjawab berkaitan kerja-kerja pembaikan terhadap sebarang kerosakan ditetapkan dengan sewajarnya,” jelasnya.

MKN berpandangan kesiapsiagaan pertahanan merupakan elemen penting dalam memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, keseimbangan antara keperluan operasi pertahanan dan sensitiviti masyarakat setempat perlu terus diberi perhatian melalui pendekatan libat urus serta penyelarasan berterusan bersama semua pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, latihan ketenteraan akan dilaksanakan dengan kerjasama erat antara ATM, kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan ia berjalan secara tersusun, selamat dan berhemah, selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.