Melaka akan laksana pembenihan awan, stabilkan bekalan air

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melakukan lawatan ke Projek Pembinaan LRA Jus Fasa Dua di Empangan Jus, Jasin, Melaka/RTM

JASIN, 8 April- Kerajaan negeri Melaka mengambil langkah proaktif bagi memastikan kestabilan rizab air mentah susulan jangkaan cuaca panas dan taburan hujan rendah sehingga September ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Pembenihan Awan diluluskan melalui NADMA; kajian kesesuaian atmosfera, pergerakan angin dan muka bumi dijalankan sebelum pelaksanaan.
  • Kerajaan negeri mengaktifkan kolam alternatif dan sumber simpanan air tambahan untuk memperkukuh bekalan sedia ada.
  • Orang ramai diingatkan kemungkinan catuan air jika paras mencapai tahap kritikal; kempen penjimatan dan pemantauan tadahan dipergiatkan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, antara langkah dilaksanakan termasuk Operasi Pembenihan Awan (OPA) melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah diluluskan.

Langkah itu diambil susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berhubung keadaan cuaca kering yang dijangka melanda negeri berkenaan bagi tempoh tersebut.

Beliau memaklumkan kajian kesesuaian atmosfera sedang dijalankan sebelum operasi berkenaan dilaksanakan.

“Kita meneliti semua faktor termasuk keadaan atmosfera, pergerakan angin dan bentuk muka bumi bagi memastikan operasi ini dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan mengenai kemungkinan pelaksanaan catuan air sekiranya paras air mencapai tahap kritikal.

Datuk Seri Ab Rauf berkata kerajaan negeri pada masa sama mengaktifkan kolam alternatif serta sumber simpanan air tambahan di seluruh negeri bagi memperkukuh bekalan sedia ada.

Kempen kesedaran penjimatan air juga dipergiatkan bagi menggalakkan penggunaan air secara berhemah selain pemantauan rapi terhadap kawasan tadahan air yang terjejas akibat cuaca kering berpanjangan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Jus Fasa Dua di Empangan Jus, di sini hari ini.