
PUTRAJAYA, 8 April – Keperluan untuk menempatkan anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen minyak di sempadan negara sedang diteliti.
- Jemaah Menteri dimaklumkan oleh KPDN mengenai beberapa siri penahanan di stesen minyak di sempadan negara.
- Agensi teraju bagi tiga sektor ditetapkan: KPDN untuk darat, PDRM untuk sempadan, APMM untuk perairan.
- Kementerian Kewangan akan meneliti penggunaan MyKasih dan MyKad untuk pemberian subsidi termasuk diesel.
- Jemaah Menteri mengarahkan KPKM dan KPDN meneliti isu diesel nelayan, perbezaan harga subsidi dan pulangan hasil menjejaskan aktiviti menangkap ikan.
Inisiatif tersebut dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sebagai usaha untuk meningkatkan kawalan keselamatan.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan Madani berkata, langkah tersebut sedang diteliti susulan Jemaah Menteri dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai beberapa siri penahanan di stesen minyak di sempadan negara.
“Beberapa aspek melibatkan keselamatan perlu dipertingkat dan Jemaah Menteri sedang mempertimbang keperluan kehadiran anggota keselamatan khususnya anggota PDRM,” katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata agensi peneraju utama bagi tiga sektor telah dikenal pasti bagi membendung ketirisan, iaitu sektor darat akan diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sektor sempadan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi berkata mekanisme bagi memanfaatkan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad untuk tujuan pemberian subsidi, termasuk diesel kepada rakyat Malaysia, akan diteliti oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Berhubung isu yang dihadapi golongan nelayan berkaitan diesel, beliau berkata Jemaah Menteri telah meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta KPDN meneliti beberapa tindakan susulan.
Ia termasuk perbezaan antara harga diesel bersubsidi serta pulangan hasil yang diterima nelayan kerana mengakibatkan aktiviti menangkap ikan terutama di kawasan pesisir pantai dan laut dalam terkesan.
Antaranya termasuk isu perbezaan antara harga diesel bersubsidi dan pulangan hasil yang diterima nelayan, yang menyebabkan aktiviti menangkap ikan, khususnya di kawasan pesisir pantai dan laut dalam, turut terkesan.