Tiada keperluan PRN Perak dalam masa terdekat – MB

Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT di Bangunan Perak Darul Ridzuan

IPOH, 8 April – Tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat di Perak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri masih mempunyai lebih setahun untuk meneruskan mandat pentadbiran.
  • Pembubaran DUN perlu perkenan Sultan Perak; MB tidak akan mengadap untuk membubarkan.
  • Keutamaan kerajaan negeri ialah memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat sehingga tamat penggal.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri masih mempunyai tempoh lebih setahun untuk meneruskan mandat pentadbiran sedia ada.

Menurut beliau, sebarang keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mendapat perkenan Sultan Perak.

“Pertama, itu tak mungkin berlaku sebab saya tidak akan mengadap tuanku untuk membubarkan dewan. Yang kedua, kita masih ada masa satu tahun lebih lagi untuk kita meneruskan khidmat yang telah diamanahkan untuk lima tahun.

“Jadi bermakna kesimpulannya, secara peribadi tidak ada kemungkinan berlaku PRN negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang menyebut kemungkinan Perak dijadikan sebagai ‘kajian kes’ bagi menilai laluan ke arah Pilihan Raya Umum (PRU).

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saarani menegaskan keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kebajikan rakyat sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran.