
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Program rintis MediAsas yang dijadualkan dilancarkan penghujung bulan ini merupakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pembiayaan kesihatan negara.
- MediAsas direka untuk menangani kenaikan kos penjagaan kesihatan dan beban premium kepada rakyat.
- Strategi RESET diperkenalkan untuk mengawal inflasi kos kesihatan sebagai punca utama kenaikan premium.
- Reformasi meletakkan kepentingan kesihatan rakyat di atas syarikat insurans dan hospital swasta.
- Kenaikan premium sejak 2024 memaksa pesara, warga emas dan golongan sederhana mengurangkan atau membatalkan perlindungan.
Sekali gus, menangani isu kenaikan kos penjagaan kesihatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, program tersebut dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam menyediakan asas bagi pelaksanaan penuh di peringkat nasional yang dijadual bermula pada Januari 2027.
Pada masa yang sama, strategi RESET iaitu reformasi menyeluruh bagi mengawal inflasi kos kesihatan yang menjadi punca utama kenaikan premium, turut diperkenalkan.
“Reformasi ini mungkin tidak mudah dan tidak popular dalam kalangan pihak tertentu yang berkepentingan. Sebab ini adalah satu reformasi yang besar dan urus niaga tidak lagi boleh dilakukan menerusi kaedah biasa.
“(Tetapi) saya rasa ini adalah sesuatu yang baik kerana kita meletakkan kesihatan rakyat dan kepentingan rakyat di atas syarikat insurans dan juga hospital-hospital swasta. Saya yakin MediAsas dan strategi RESET akan menjadi titik perubahan kepada sistem kesihatan negara yang lebih adil, lebih telus lebih mampan dan lebih mampu dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia, ” ujar beliau.
Sim yang juga merupakan Ahli Parlimen Bayan Lepas berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Parlimen.
Menurut beliau, sejak 2024, rakyat berdepan kenaikan premium insurans perubatan dengan sebahagiannya meningkat sehingga 80 peratus.
Situasi itu menyebabkan ramai pesara, warga emas dan golongan berpendapatan sederhana terpaksa mengurangkan atau membatalkan insurans perlindungan mereka.